Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
MUAR 25 Julai – Tindakan seorang warga emas menegur seorang lelaki yang memakai selipar di dalam masjid mengundang padah apabila dia akhirnya meninggal dunia semalam, setelah koma selama dua hari akibat terjatuh ditolak lelaki itu.
Dalam kejadian pagi Selasa lalu, mangsa, Zakaria Mahmud, 69, baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh di Masjid Sultan Ibrahim di Jalan Petrie di sini.
Dia kemudiannya ternampak seorang lelaki warganegara Myanmar memakai selipar di dalam kawasan masjid lalu menegurnya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli berkata, teguran mangsa itu membangkitkan kemarahan lelaki berkenaan yang kemudian menolak warga emas itu sehingga terjatuh ke lantai masjid.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berasal dari Jalan Temenggung Ahmad di sini telah mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala akibat terjatuh di lantai masjid.
“Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk menerima rawatan, koma selama dua hari dan akhirnya meninggal dunia di hospital itu kira-kira pukul 7 malam tadi,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohammad Nasir berkata, sejurus kejadian itu, polis menahan lelaki warganegara Myanmar berusia 27 tahun terbabit di Jalan Abdul Rahman di sini bagi membantu siasatan.- Utusan.