BEIJING – Bagi atlet, pengunjung malah wakil media beragama Islam yang akan ke Olimpik Beijing, mereka tidak perlu terlalu gusar dengan soal makanan semasa berada di sini kerana lebih 2,000 restoran dan kedai makanan halal dibuka sepanjang kejohanan yang bermula bulan depan.
Pihak bandar raya ini telah memperuntukkan 32 juta yuan (RM15 juta) untuk membuka restoran halal dan meningkatkan perniagaan katering masyarakat Islam, demikian menurut agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan seorang pegawai bandar raya ini.
Kedai makanan Islam juga terdapat di Lapangan Terbang Beijing dan stesen kereta api Barat Beijing.
Menurut Xinhua, kira-kira 10,000 atlet, jurulatih dan pelancong beragama Islam dijangka melawat kuaters Islam di Niujie Street di mana terdapat masjid paling tua di bandar raya ini.
Laporannya menyebut sebanyak 12 daripada 70 buah masjid telah dipilih untuk menjadi pusat utama untuk mengalu-alukan pelawat Islam yang turut diletakkan tanda dalam bahasa Arab.
Perkampungan sukan turut mempunyai kemudahan makanan Islam dan tempat untuk aktiviti agama bagi para atlet dan pegawai sukan.
China mempunyai kira-kira 20 juta penduduk beragama Islam yang majoritinya terdapat di barat laut wilayah autonomi Xinjiang dan Ningxia.
- Bernama
